Yahudi Iran enggan hijrah ke Israel

TEHERAN: Masyarakat Yahudi Iran menolak tawaran wang tunai lumayan sebanyak £5,000 (RM35,000) seorang sehingga £30,000 (RM210,000) bagi sekeluarga untuk berpindah ke Israel.

Akhbar Guardian melaporkan semalam, penolakan itu membuktikan kesetiaan masyarakat terbabit kepada musuh ketat Israel, iaitu Iran.

Ganjaran wang tunai itu dibuat menerusi satu tabung khas diwujudkan pegawai dagang asing Israel yang mewah, dalam usaha memastikan matlamat penghijrahan beramai-ramai 25,000 penduduk Yahudi Iran ke Israel menjadi kenyataan.

Malah, tawaran itu dibuat dengan sokongan rasmi Israel dan ia turut disenaraikan ke dalam pakej khas diberikan rejim Zionis itu kepada penduduk Yahudi yang berhijrah.

Namun, Persatuan Yahudi Iran menolak tawaran itu sebagai taktik politik kurang matang dan menegaskan, identiti kebangsaan mereka tidak boleh dijual beli.

“Identiti Yahudi Iran tidak boleh diperdagangkan dengan apa juga bilangan habuannya,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

“Yahudi Iran antara masyarakat lama di Iran. Yahudi Iran sememangnya cintakan identiti mereka sebagai rakyat Iran. Budaya dan taktik politik tidak matang ini tidak mungkin dicapai jika mahu mencapai sasaran melenyapkan langsung identiti masyarakat Yahudi Iran.”

Akhbar Yahudi, Ma’ariv pula melaporkan jumlah wang tunai itu dilipatgandakan selepas tawaran awal £2,500 (RM17,500) bagi setiap orang, terbukti gagal menarik lebih ramai Yahudi Iran berhijrah ke Israel.

Ahli Parlimen Yahudi tunggal di Iran, Morris Motamed menyifatkan tawaran itu satu penghinaan dan memberi beban kepada masyarakat Yahudi membuktikan kesetiaan.

“Ia menunjukkan yang Yahudi Iran boleh disogok dengan wang untuk berhijrah. Mereka bebas berhijrah dan tiga perempat daripada masyarakat itu sudah berbuat demikian selepas Revolusi Islam,” katanya. – Agensi