Halang lelaki ‘lembut’ jadi guru tidak adil

Cadangan Kementerian Pengajian Tinggi tidak menerima lelaki ‘lembut’ dalam bidang perguruan di negara ini dan mengikuti program ijazah sarjana muda pendidikan di universiti tempatan, disifatkan sebagai tidak adil dan menafikan hak asasi individu.

Pelbagai pihak juga mahu kementerian itu mengkaji semula langkah itu kerana ia bukan penyelesaian kepada masalah lelaki ‘lembut’.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata ada pelbagai pendekatan yang lebih baik boleh diambil kerana sifat sedemikian lahir secara semula jadi.

“Langkah ini tidak sesuai diambil kerana pemikiran lelaki ‘lembut’ kadang kala lebih tajam daripada lelaki biasa. Kalau mereka pandai, kita boleh gunakan kepandaian itu untuk mendidik anak bangsa.

“Lelaki ‘lembut’ tidak sepatutnya dinafikan hak menjadi guru, sebaliknya pendekatan lain seperti kursus asas atau sesi kaunseling lebih sesuai diberikan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.