Al-Qaeda kembali bangkit
Rangkaian al-Qaeda bangkit semula menentang ‘kempen memerangi keganasan’, meningkatkan kemampuannya untuk menyerang Amerika Syarikat, dan menggandakan usaha menghantar anggotanya ke negara itu, menurut laporan baru perisikan semalam. “Hasilnya, kami menilai Amerika kini berada dalam persekitaran ancaman amat tinggi,” menurut laporan. Ia dikeluarkan hampir enam tahun selepas pentadbiran Presiden George W Bush mahu menghapuskan kumpulan pimpinan Osama bin Laden itu, berikutan serangan 11 September 2001 yang menyebabkan kira-kira 3,000 maut. Menggariskan ‘penilaian utama’ oleh komuniti perisikan Amerika mengenai ancaman pengganas terhadap negara itu, laporan merumuskan bahawa al-Qaeda mengumpul semula kekuatannya di tempat perlindungannya di Pakistan. “Kami menilai kumpulan itu melindungi atau mewujudkan semula elemen utama kemampuannya menyerang Amerika termasuk: kawasan selamat di Kawasan Pentadbiran Puak Persekutuan Pakistan (FATA), anggota operasi, dan pemimpin atasannya. – AFP