Qardhawi minta Abbas berdialog kerana beliau bukan pemimpin Fatah Sahaja

Ulama tersohor, Syeikh Yusuf Qardhawi menyampaikan seruan kepada Presiden Palestin, Mahmud Abbas (Abu Mazen) yang meminta presiden Palestin itu untuk mengadakan dialog dengan Hamas dalam rangka menyelesaikan krisis yang sedang melanda negeri para syuhada itu.

"Saya minta saudara Mahmud Abbas, yang saya kenali sejak 50 tahun lalu agar menyedari bahawa beliau sebenarnya adalah pemimpin bagi setiap orang Palestin, bukan pemimpin Fatah sahaja. Semua warga Palestin adalah putera-puteranya, beliau perlu berdialog dengan semua pihak," kata Qardhawi.

Pernyataan Qardhawi ini disampaikan dalam siaran Asy-Syari'ah wal Hayat (syari'ah dan kehidupan) yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Al jazeera, Ahad lalu (24/6).

Ulama karismatik itu menekankan kepentingan berdialog kepada semua pihak. "Tidak ada jalan keluar selain dengan dialog. Tidak boleh seseorang mengatakan, saya tidak mahu berdialog. Tidak, ini tidak boleh diterima. Sekali lagi, tidak mungkin seseorang mengatakan, saya tidak mahu berdialog" katanya.

Menurut Qardhawi lagi, "Dialog adalah konsep Islam yang Allah Ta'ala perintahkan kepada umat Islam untuk melakukannya, walaupun dengan musuh-musuhnya. Allah Ta'ala menyebutnya dengan sebutan jidal. Allah SWT memerintahkan Nabi-Nya untuk mengajak berdialog dengan musuh-musuhnya dengan cara yang baik. "Berdialoglah dengan mereka (musuh-musuh Islam) dengan cara yang baik" apatah lagi kita sesama Muslim?!? tegas Qardhawi.