SPR hantar sampel dakwat cap jari kepada majlis fatwa

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan sampel dakwat khas yang digunakan untuk mengecap ibu jari pengundi ketika proses pilihan raya umum kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk dianalisis.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata pihaknya sudah menghantar sampel itu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dua minggu lalu bagi mendapatkan kepastian terutama dari aspek kemungkinan ia memberi kesan kepada wuduk.

"Kita tidak mahu penggunaan dakwat khas menimbulkan persoalan atau menghalang umat Islam daripada mengundi.

"Dakwat itu akan kekal di jari bagi tempoh dua atau tiga hari, jadi adalah tepat bagi kita untuk bertanya (kepada Majlis Fatwa Kebangsaan) sama ada ini boleh memberi kesan kepada amalan wuduk," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Awal bulan lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor akan mengadakan pertemuan dengan SPR bagi membincangkan lebih terperinci mengenai penggunaan dakwat khas bagi mengelak kehadiran pengundi hantu pada pilihan raya umum akan datang.

Kelmarin, akhbar melaporkan, ramalan mengenai bila pilihan raya umum ke-12 akan diadakan bertambah hangat apabila SPR mengumumkan hanya bersedia mengendalikan pilihan raya selepas September ini.

Abdul Rashid dilaporkan mengakui kerajaan ada bertanya kepada suruhanjaya itu sama ada sudah bersedia mengendalikan pilihan raya.

Beliau berkata, perkara itu sudah dinyatakan kepada kerajaan, baru-baru ini kerana pihaknya memerlukan masa untuk membuat beberapa persediaan terakhir, termasuk melatih kira-kira 200,000 petugas di seluruh negara.