Anak Osama bin Laden kagumi sikap isteri keturunan Yahudi

LONDON: Anak kepada pemimpin rangkaian al-Qaeda Osama bin Laden, berkata beliau gembira berkahwin dengan seorang nenek yang turut didakwa mempunyai perangai pelik.

Omar bin Laden, 26, dalam kenyataan yang dikeluarkannya mengesahkan dia sudah mengahwini Jane Felix-Browne, 51.

Felix-Browne pernah berkahwin lima kali. Pengusaha besi buruk dan anak keempat Osama bin Laden itu memberi reaksi terhadap kritikan ke atas dirinya sambil menegaskan bahawa isterinya yang mempunyai moyang berketurunan Yahudi adalah seorang Islam dengan sebahagian keturunannya berasal dari Kuwait.

“Kewarganegaraannya bukanlah satu isu. Apa yang penting ialah agama dan sikapnya,” katanya.

Omar yang mempunyai seorang lagi isteri di Jeddah, Arab Saudi mengaku beliau berkahwin dengan seorang wanita Arab daripada sebuah keluarga yang dihormati dan hidup bahagia bersamanya.

“Dia juga merestui perkahwinan kedua saya. Poligami bukan perkara asing dalam masyarakat Arab dan Islam,” katanya.

Omar turut mempertahankan perbezaan usia 25 tahun antara dia dan Felix-Browne dengan merujuk perbezaan usia antara Nabi Muhammad dan isteri pertamanya Khadijah, ialah 15 tahun.