Ashaari terbit buku baru mengagungkan diri

Ketua kumpulan al-Arqam, Ashaari Muhammas yang diburu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah, dikesan menerbitkan sebuah buku baru berjudul Politik Islam Membawa Kasih Sayang dipercayai sebagai usaha menghidupkan semula ajaran berkenaan yang diharamkan sejak 1994. Buku itu diterbitkan Mac lalu dikesan sepasukan anggota penguat kuasa Jais ketika membuat serbuan di 11 premis di Bandar Country Homes, Rawang, pada 9 Julai lalu yang mana ia antara barang dirampas. Dalam serbuan itu, seorang wanita dipercayai pekerja di salah satu premis itu ditahan mengikut Seksyen 12 (C) kerana menyimpan buku diharamkan, sekali gus melanggar fatwa dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jais. Exco Agama, Belia dan Mesra Rakyat negeri, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata beliau belum membaca isi kandungan buku itu, tetapi percaya ia mengagungkan Ashaari sebagai pemimpin terulung abad ini, sama seperti buku dirampas dan diharamkan sebelum ini.

Beliau berkata, usaha menghidupkan kembali kumpulan itu bertentangan dengan keputusan kerajaan mengharamkan kumpulan dan ajaran itu serta tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku ketua agama Islam di negeri itu.
“Saya mengingatkan bekas pengikut ajaran ini supaya menghormati fatwa dan Sultan Selangor dengan penuh rasa tanggungjawab. “Kita akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap bekas pengikut ajaran ini yang masih berdegil, di samping mengadakan operasi berterusan untuk membanterasnya,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. Turut hadir Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi. Ashaari atau dipanggil Abuya di kalangan pengikut ajaran itu dikatakan bersembunyi selepas diburu Jais kerana dikesan cuba menghidupkan semula ajaran itu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, satu lagi ajaran sesat dikesan di negeri itu dikenali kumpulan Haji Kahar yang mentafsir hadis dan al-Quran mengikut fahaman sendiri. “Kumpulan ini jika tidak dibendung akan menimbulkan salah faham dan perpecahan di kalangan umat Islam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengurusan masjid dan surau di Selangor supaya memastikan hanya penceramah atau guru agama yang mempunyai sijil tauliah daripada Jais dibenarkan memberi ceramah atau mengajar ilmu agama.
Beliau berkata, selain mengelak salah tafsir, sijil tauliah itu juga bagi memastikan penceramah hanya mengajar ilmu agama bukan mengumpat dan menidakkan keislaman.