Pemimpin nombor dua al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri muncul dalam satu rakaman video terbarunya, menggesa rakyat Pakistan menyertai perang jihad sebagai membalas dendam serangan tentera Islamabad ke atas sebuah masjid, kelmarin. Kenyataannya itu dibuat ketika satu laporan lain penganalisis perisikan Amerika Syarikat yang mendakwa kumpulan al-Qaeda sudah meningkatkan keupayaan operasinya ke tahap yang tidak pernah dilihat sebelum serangan 11 September, 2001. Perutusan Ayman selama empat setengah minit bertajuk ‘Keganasan Terhadap Masjid Lal,’ bertumpu sepenuhnya terhadap pertempuran sengit kumpulan pelajar radikal itu dengan tentera Pakistan. Video itu dikeluarkan kelmarin oleh unit multimedia al-Qaeda, As-Sahab dan kesahihannya tidak dapat disahkan setakat ini. Namun, dua kumpulan pemantau keganasan berpangkalan di Amerika, turut melaporkannya. “Wahai penduduk Muslim Pakistan, kelangsungan kehidupan anda hanyalah menerusi jihad,” kata Ayman dalam rakaman yang turut diselitkan sari kata bahasa Inggeris. “Pilihan raya yang diseleweng, politik, mengampu, merayu, berunding dengan penjenayah dan muslihat politik sekali pun tidak mungkin dapat menyelamatkan anda,” katanya. “(Presiden Pervez) Musharraf dan anjing buruannya sudah mencalar kehormatan anda demi memenuhi khidmatnya terhadap pihak Yahudi,” katanya merujuk kepada pentadbiran Musharraf yang sememangnya dikecam hebat kerana tindak tanduknya menangani drama kepungan di Masjid Lal berkenaan.
Ayman menyifatkan kematian Ghazi sebagai jenayah kotor dilakukan perisik tentera Pakistan atas arahan Musharraf. “Kebangkitan semula al-Qaeda kini ketara selepas dapat menyusup masuk ke lubuk baru dan kawasan yang goyah di Pakistan. Kita menyaksikan lebih banyak latihan, lebih banyak wang dan aspek komunikasi yang semakin ketara. Semua kegiatan itu semakin meningkat,” kata John Krigen, Ketua Direktorat Analisis Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA).