Isu nama patung: sentimen anti-Barat meningkat di Sudan

KHARTOUM 1 Dis. – Ribuan rakyat Sudan bersenjatakan belantan dan pedang sambil bergendang, membakar gambar seorang guru warga Britain yang didakwa menghina Islam kerana membenarkan pelajarnya menamakan anak patung beruang dengan nama Muhammad.

Kekecohan itu berlaku ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Sudan sebagai berlengah-lengah dalam menerima penghantaran pasukan pengaman di wilayah Darfur yang bergolak.

“Bunuh dia! Bunuh dia dengan skuad menembak!,” adalah antara kata-kata yang dilaung oleh penunjuk perasaan.

Guru berusia 54 tahun yang berkhidmat di sekolah persendirian ala Britain, Sekolah Tinggi Unity itu dijatuhkan hukuman penjara 15 hari dan terlepas daripada dikenakan hukuman 40 sebatan, enam bulan penjara dan denda.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan yang berlaku ini adalah kecil berbanding demonstrasi pada Februari tahun lalu apabila sebuah akhbar Eropah menyiarkan karikatur Nabi Muhammad S.A.W.