KAHERAH 19 Mei - Osama bin Laden dalam mesej terbarunya yang disiarkan semalam, mengutuk pemimpin-pemimpin Arab kerana sanggup "mengorbankan" negara Palestin.
Osama turut menyampai mesej yang jelas kepada pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dengan mengatakan beliau tidak mampu menentang Israel secara bersendirian, sebaliknya memerlukan sokongan kumpulan berkenaan.
Pemimpin al-Qaeda itu menegaskan, hanya ada satu cara untuk membebaskan Palestin iaitu dengan menentang 'rejim' Arab yang melindungi rejim Zionis.
Beliau turut menyeru pejuang Islam di Mesir supaya membantu memecahkan tembok sekatan yang dibina oleh Israel di Gaza.
Osama menjelaskan, umat Islam perlu bangkit menentang pemimpin seagama, walau pun ia ditegah oleh agama, kerana berpendapat pemimpin terbabit memerintah tidak mengikut undang-undang syariah.
"Pemimpin berkenaan berkuasa sama ada melalui rampasan kuasa atau dengan sokongan tentera asing.
"Raja dan pemimpin Arab ini mengorbankan Palestin dan Masjid al-Aqsa semata-mata untuk kekal berkuasa. Tetapi, kita tidak akan melepaskan tanggungjawab itu," katanya.
Rakaman video mesej Osama selama 22 minit itu telah disiarkan dalam laman web kumpulan al-Qaeda. Kesahihan rakaman itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Rakaman mesej tersebut disiarkan Jumaat lalu sempena peringatan 60 tahun penubuhan Israel, dengan ikrar kumpulan al-Qaeda untuk terus menentang negara Yahudi itu.
Osama dan timbalannya, Ayman al-Zawahri acap kali membidas pemimpin Arab dengan menyifatkan mereka sebagai pengkhianat.
Beliau turut memanggil pemimpin Arab sebagai "ejen salib dan serigala", sementara penduduk Arab sebagai kawanan biri-biri yang diserahkan kepada jagaan serigala.
"Setiap hari, kawanan biri-biri ini akan berdoa supaya mereka tidak menjadi mangsa serigala," katanya.
Menurut Osama, Israel merupakan sebuah negara yang lemah, tetapi negara Arab tidak pernah menyerang "walau sekali" untuk membebaskan semula Palestin.
Dalam mesejnya kepada Hassan pula, Osaman berkata, pemimpin Hizbullah itu sering mendakwa mempunyai sumber seperti kewangan dan anggota mencukupi untuk menentang Israel.
"Pada hakikatnya adalah sebaliknya. Jika beliau jujur dan ada sumber yang cukup, kenapa beliau tidak menyokong perjuangan pembebasan Palestin," katanya.
Osama turut membidas Hassan kerana membenarkan penempatan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lebanon bagi "melindungi Yahudi."
- AP