Khutbah 'cinta terlarang' mahu ubah perspektif umat Islam?

Khutbah Jumaat di masjid hari ini membawa tajuk berjiwa remaja iaitu `Cinta Terlarang'. Tajuk ini juga sering kali diguna penulis cereka seperti novel dan cerpen atau skrip drama.

Apa maksud pihak berkuasa agama menggunakan tajuk tersebut? Mungkin juga satu provokasi untuk menarik jemaah masjid lebih mendengar khutbah daripada tidur di samping menarik remaja mengikuti kandungan khutbah yang disampaikan.

Apa yang pastinya dibarisan depan jemaah solat ramai golongan berusia berbanding golongan belia yang lebih suka duduk di belakang. Kemungkinan juga tajuk yang digunakan sebagai pendekatan di masa akan datang untuk menarik golongan belia lebih ke saf depan dalam masjid.

Bagaimanapun pengertian daripada khutbah yang ingin disampaikan katib itu lebih diberi keutamaan walaupun ia nampak tidak serius.

Perkara utama yang sukar dirungkai dalam masyarakat sekarang ialah bagaimana untuk mengatasi masalah manusia bercinta sehingga mengundang kemungkaran. Hal ini turut berlaku yang amat ketara dalam masyarakat umat Islam.

Umat Islam sekarang yang mudah menerima pemikiran Barat menjadikan cinta bermasalah itu walaupun dilarang dalam Islam sebagai satu budaya hidup malah setiap cara serta susun atur kehidupan lebih berlandaskan kepada menteliti tersebut.

Terutamanya perspektif bercinta sebelum kahwin dan di alam pertunangan. Ia seolah-olah telah menjadi lumrah dan perkara biasa dalam masyarakat umat Islam. Sedangkan apa yang diberitahu oleh khutbah tersebut cinta seumpama itu adalah terlarang.

Perkara inilah yang cuba dirungkaikan supaya umat Islam menjadi insan yang bermoral dan berakhlak tinggi. Katib bertanggung jawab menyampai dan menyelar perbuatan serta amalan terlarang itu. Tetapi apakah katib mampu mengubah amalan yang telah menjadi budaya dalam kehidupan seharian orang Islam?

Kata katib ketika menyampaikan khutbahnya di Masjid Sungai Mulia, cinta tersebut merupakan perkara yang dilarang dalam Islam. Cinta yang diberikan oleh Allah kepada insan adalah satu kemulian sebaliknya manusia menjadikan cinta itu sebagai tempat memuaskan hawa nafsu mereka.

"Cinta itu baik jika digunakan pada tempat yang baik sebaliknya ia jadi mungkar apabila digunakan pada tempat yang tidak baik," ujarnya. Ramai umat Islam yang kecundang dalam permainan perasaan ini kerana insan berlainan jenis yang tidak halal apabila berduaan akan datang yang ketiga iaitu syaitan.

Pihak berkuasa agama bertanggung jawab menyampaikan dakwah untuk mengubah perspektif yang telah lama tertanam dalam pemikiran umat Islam. Bagaimanapun ia bukanlah satu perkara yang mudah lebih-lebih lagi peranan televisyen yang sering menayangkan filem serta drama yang bentuknya bercanggah dengan agama.

Khutbah hanya mampu disampaikan seminggu sekali. Tajuk khutbah minggu depan lain pula yang ingin disampaikan. Sedangkan televisyen boleh dikatakan setiap hari menyiarkan drama bercinta sebelum kahwin.

Akhirnya pihak berkuasa agama kalah. Jadi sebaiknya pihak berkuasa agama yang ada kuasa gunalah kuasa. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zahid Hamidi ada. Janganlah hanya puji idea pembangkang bagus di Dewan Rakyat sedangkan pelaksanaannya tidak berlaku.

Pandangan pembangkang terutama PAS dalam soal agama bukan baru di parlimen. Tetapi sampai sekarang tidak ada tindakan terutama dalam pendekatan selari kementerian dalam menangani keruntuhan moral dan gejala akhlak.

Selagi keadaan ini tidak tercapai selagi itulah masalah tidak boleh diatasi. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dahulu di Dewan Rakyat.

Walaupun kementerian pendidikan dan jabatan perdana menteri bahagian agama mahu mewujudkan manusia berakhlak sebaliknya kementerian lain terutama penerangan tidak bertindak selari malah lebih cenderung kepada hiburan yang akhirnya melalaikan manusia