Ikhwan UK ucap tahniah

LONDON, 20 Mei (Hrkh) - Pemimpin Ikhwan Muslimin di United Kingdom mengucapkan tahniah di atas kejayaan PAS di dalam Pilihan Raya Umum ke 12 baru-baru ini.

Image Pemimpin pergerakan tersebut, Syeikh Ibrahim Munir berkata demikian sewaktu menerima kunjungan Setiausaha Agung PAS, Dato Kamarudin Jaffar dan AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi ke pejabat mereka di London, semalam.

Syeikh Ibrahim Munir menyifatkan kejayaan tersebut sebagai salah satu petanda kebangkitan Islam dari sebelah Timur.

Dalam pertemuan yang berlangsung sekitar dua jam itu turut dihadiri oleh Syeikh Abu Hisyam yang pernah hidup sezaman dengan Imam Hasan al-Banna dan juga Mahmoud al-Libyari yang merupakan ketua editor penerbitan Ikhwan di Eropah.

Di dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin PAS yang diiringi oleh beberapa orang rakyat Malaysia yang bekerja di UK, membentangkan analisis kejayaan PAS di dalam pilihan raya yang lepas.

Syeikh Ibrahim dalam ucapannya berkata, telah tiba masanya seluruh umat Islam memusatkan kekuatan dengan mengutamakan kesatuan.

Menurut beliau, formula utama di dalam agenda kesatuan ialah ukhuwah atau persaudaraan sesama Muslim.

Justeru katanya, amat penting bagi kumpulan-kumpulan Islam terutamanya daripada golongan muda untuk bersedia bersatu bagi memenangkan Islam di Malaysia.

Image Sementara itu, Syeikh Abu Hisyam pula menyifatkan kejayaan itu sebagai salah satu daripada hasil perjuangan yang diasaskan oleh Imam Hasan al-Banna selepas kejatuhan khilafah Uthmaniyah pada tahun 1921.

Terharu dengan semangat kemenangan tersebut, beliau menasihatkan agar seluruh pejuang PAS perlu bersungguh-sungguh membuktikan Islam itu sebagai penyelesai kepada permasalahan yang berlaku di dunia ini, termasuklah juga kepada yang bukan Muslim.