BAGHDAD 19 Mei - Parti Sunah Arab yang diketuai Naib Presiden Iraq, Tareq al-Hashemi menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas seorang askar Amerika Syarikat (AS) yang menjadikan sebuah naskhah al-Quran sebagai sasaran latihan menembak.
Perbuatan keji askar berkenaan turut dikutuk oleh Persatuan Ulama di Iraq yang menganggap tentera AS dan kerajaan Iraq sebagai sama-sama bertanggungjawab.
Parti pimpinan Tareq dalam kenyataannya hari ini menegaskan: "Parti Islam Iraq menuntut pentadbiran AS bertindak tegas terhadap perbuatan mencemarkan kesucian al-Quran itu dan turut menggesa kerajaan kami mengambil pendirian sewajarnya berhubung penghinaan yang melampau batas ini."
Persatuan Ulama di Iraq dalam kenyataannya berkata: "Jenayah keji ini memperlihatkan kebencian pemimpin dan anggota tentera penceroboh terhadap al-Quran dan umat Islam."