Siaran langsung sidang Parlimen bukan untuk politik
KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet membenarkan persidangan Parlimen disiar secara langsung menerusi televisyen bukan untuk kepentingan politik, sebaliknya membuktikan keterbukaan kerajaan selaras dengan amalan demokrasi di negara ini. Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata melalui siaran langsung sesi soal jawab Persidangan Dewan Rakyat, selama 30 minit setiap hari menerusi RTM1, bermula akhir bulan ini, rakyat diberi peluang menilai wakil rakyat yang mereka pilih secara objektif. Mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan media sekarang tidak terbuka, beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu membandingkan keterbukaan yang wujud kini dengan zaman pemerintahannya yang menyaksikan beberapa akhbar diharamkan. Ketika ditanya mengenai blogger, Ahmad Shabery mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan mengiktiraf peranan golongan itu dalam membentuk pemikiran masyarakat dengan memberikan ruang untuk mereka bercakap secara terbuka melalui program di RTM selama 20 minit setiap Ahad bermula 20 April ini. - Bernama