Rakyat Mesir merusuh -Tunjuk perasaan bantah kenaikan harga barang

MAHALLA EL-KOBRA, Mesir – Ribuan rakyat yang marah dengan kenaikan harga barang tetapi tiada kenaikan gaji telah membakar bangunan kerajaan, mencuri di kedai-kedai dan melontar batu ke arah polis di bandar industri ini malam tadi.

Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan semua penunjuk perasaan.

Kira-kira 150 orang ditahan sementara 80 lagi cedera dalam protes yang diadakan di bandar yang terletak di Delta Nil ini.

Penunjuk perasaan menyerbu majlis perbandaran, memecahkan tingkap dan melarikan komputer serta dokumen lain.

Sekurang-kurangnya dua buah sekolah dibakar dan beberapa buah bank dirosakkan.

Ribuan anggota polis terpaksa dikerahkan mengawal keadaan di jalan-jalan raya di Mahalla, 120 kilometer ke utara Kaherah.

Hampir 100 orang ditahan di seluruh Mesir awal semalam ketika ribuan penduduk tidak pergi bekerja atau bersekolah kerana membantah kenaikan harga makanan dan keadaan kerja yang semakin teruk.

Seruan pertama mogok seluruh negara dibuat oleh pihak pembangkang semalam bagi memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak.

Kekacauan yang berlaku dua hari sebelum pilihan raya perbandaran dan wilayah itu dikhuatiri menjejaskan proses pemilihan tersebut.

Mesir yang mendapat sokongan Amerika Syarikat turut memberi amaran kepada penduduk agar tidak menyertai mogok dan demonstrasi kerana ia tidak dibenarkan undang-undang.