Mubaligh AS gesa Israel terus kuasai Baitulmaqdis

BAITULMAQDIS 7 April - Mubaligh Kristian Amerika Syarikat (AS), John Hagee semalam mengumumkan untuk menderma sejumlah AS$6 juta (RM19.15 juta) kepada beberapa pertubuhan Israel dan meminta bangsa Yahudi agar terus menguasai seluruh Baitulmaqdis.

Hagee yang kerap muncul di televisyen baru-baru ini kerana sokongannya terhadap calon Presiden dari Parti Republikan, John McCain serta kritikannya terhadap Gereja Katolik, telah membawa ratusan penyokong dalam satu lawatan "perpaduan" ke Israel.

Kumpulan pimpinan Hagee, Kristian Bersatu Untuk Israel, turut mengadakan perarakan di pusat konvensyen Baitulmaqdis.

Kebanyakan hadirin yang merupakan warga AS mengibarkan bendera Israel ketika Hagee naik ke pentas untuk memberi ucapan bersama dengan pemimpin Parti Likud, Benjamin Netanyahu, semalam.

"Memulangkan sebahagian atau semua kawasan Baitulmaqdis kepada penduduk Palestin mungkin menjadi ancaman seperti menyerahkan ia ke tangan Taliban," kata Hagee merujuk kepada bekas rejim di Afghanistan.

Antara 16 pertubuhan yang disokong oleh Hagee dan menerima dermanya adalah perkhidmatan ambulans Magen David Adom dan sebuah pusat persidangan di penempatan Ariel di Tebing Barat.

Kenyataan Hagee mengenai Katolik menyebabkan McCain sendiri menjauhkan diri pada bulan lalu apabila paderi San Antonio itu mengatakan diktator Nazi, Adolf Hitler adalah penganut Katolik anti-Yahudi.