Surau, masjid jadi lokasi pelajar ponteng


SHAH ALAM 17 Jun – Dalam usaha kerajaan memperluaskan peranan institusi masjid, lain pula jadinya pada surau dan masjid di sekitar Klang.

Kebanyakan rumah ibadat itu dikenal pasti menjadi tempat persembunyian pelajar yang ponteng sekolah untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, terdapat surau dan masjid menjadi lokasi persembunyian pelajar ponteng kerana sunyi pada waktu siang.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak jawatankuasa surau dan masjid merancang aktiviti tertentu seperti kelas agama pada siang hari bagi mengelakkannya dijadikan ‘sarang’ pelajar ponteng sehingga boleh menjurus kepada gejala maksiat atau dadah.