Imam Besar Al-Azhar doa selatan Thai pulih

BANGKOK 25 Jun – Imam Besar Al-Azhar, Dr. Muhammad Sayid Tantawy berdoa keamanan akan kembali wujud di tiga wilayah Selatan Thailand yang majoriti penduduknya adalah orang Islam dan rundingan antara kerajaan dan puak pemisah akan dapat diadakan.

Jurucakap Kerajaan Thailand, Dr. Yongyuth Mayalarp berkata, Muhammad memberitahu Perdana Menteri Surayud Chulanont bahawa Islam, sebagaimana agama lain, menginginkan kedamaian dan berharap pergolakan di wilayah selatan negara itu akan pulih dalam masa terdekat.

Semasa lawatannya di sini, Muhammad, yang dianggap sebagai seorang tokoh paling berpengaruh dalam kalangan pemimpin Islam di dunia dan mengetuai sebuah universiti Islam tersohor, akan dianugerahkan ijazah kehormat oleh Prince of Songkhla University. Jurucakap Kerajaan Thailand itu berkata, Perdana Menteri mahu bantuan daripada Al-Azhar terutamanya dalam pengajaran bahasa Arab dan mata pelajaran agama dan pensyarah daripada universiti memandangkan Narathiwat University akan menawarkan kursus seumpamanya.