Jemputan


Firman Allah S.W.T

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَى مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
 
Tafsir Ibnu Kathir

Ayat ini mengandungi beberapa hukum-hakam yang 'muhkamah' dan suruhan-suruhan 'mubramah'. Firman Allah Taala : "Dan kahwinkanlah ......." hingga akhirnya merupakan satu perintah supaya mengahwinkan. Sebahagian ulama berpendapat, wajib kahwin bagi setiap yang mampu. Mereka berdalilkan sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Wahai sekalian pemuda, barangsiapa daripada kalangan kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka hendaklah ia berkahwin. Sesungguhnya ia (perkahwinan) boleh menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia  berpuasa kerana ia (puasa itu) menjadi penawar baginya. - dikeluarkan dalam sahihain daripada hadith ibnu Masood. Terdapat dalam Sunan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : "Kahwinilah (perempuan) beranak banyak, sesungguhnya aku berbangga mempunyai umat yang ramai di hari Qiamat.

"Al-Ayaama" adalah perkataan jama' bagi perkataan  "ayyim". Digunakan untuk perempuan yang tidak mempunyai suami atau untuk lelaki yang tidak mempunyai isteri samada ia pernah berkahwin kemudian bercerai atau yang belum berkahwin lagi. 

Firman Allah Taala " إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاء يُغْنِهِمْ اللَّه مِنْ فَضْله " "Jika mereka itu miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya." Berdasarkan ayat ini, berkata Ali b. Abi Talhah   daripada Ibnu Abbas; Allah Taala menggesa mereka supaya berkahwin dan memerintahkan orang merdeka dan hamba supaya dikahwinkan serta menjanjikan mereka dengan kekayaan. 



Berkata Ibnu Abi Hatim, Abu Bakar As-siddiq berkata : Taatilah kamu akan Allah pada apa yang Dia arahkan supaya bernikah, kamu akan peroleh kekayaan sebagaimana yang dijanjikan. Daripada Ibnu Masood; Carilah kekayaan dalam pernikahan. Daripada Abu Hurairah R.A. berkata : Sabda Rasulullah S.A.W. : "Tiga hak ke atas Allah menolong mereka; orang yang ingin kahwin yang mahukan memelihara kesucian diri, hamba mukatab yang mahu merdeka dan pejuang di jalan Allah."- diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tarmidzi, An-Nasaaie dan Ibnu Majah. Nabi S.A.W. telah mengahwinkan lelaki itu yang tidak mempunyai apa-apa kecuali kain sebarnya, tidak mampu mengadakan sebentuk cincin besi, meskipun begitu Nabi S.A.W. tetap mengahwinkannya dengan seorang perempuan dan mensyaratkan maharnya ialah mengajarkan perempuan itu Al-Quran.

Sabda Rasulullah s.a.w :

من تزوج فقد استكمل نصف دينه فليتق الله في النصف الباقي

"Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertakwalah ia pada separuh yang lain". (Hadis riwayat oleh Al-Tabrani Fil-Ausath)

Sabda Rasulullah s.a.w :

تخيروا لنطفكم فإن العرق نزاع وفي رواية دساس وفي رواية فأنكحوا الأكفاء أنكحوا إليهم

"Pilihlah untuk keturunanmu (wanita yang baik) kerana sesungguhnya keturunan itu menjadi pertikaian. Dalam satu riwayat yang lain dikatakan: Keturunan itu menjadi desas-desus". Dalam satu lagi riwayat yang lain disebut: "Hendaklah engkau berkahwin dengan orang sekupu dan kahwinkanlah (anak-anakmu) dengan yang sekupu.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

لا تزوجوا النساء لحسنهن فعسى حسنهن أن يرديهن ولا تزوجوهن لأموالهن فعسى أموالهن أن تطغيهن ولكن تزوجوهن على الدين ولأمة خرماء خرقاء ذات الدين أفضل

"Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya kerana bole jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang rabik dan hodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama". (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Amaran Rasulullah s.a.w yang bermaksud:


من تزوج امرأة لعزها لم يزده الله إلا ذلا ومن تزوجها لما لها لم يزده الله إلا فقرا ومن تزوجها لحسبها لم يزده الله إلا دناءة ومن تزوج امرأة لم يرد بها إلا أن يغض بصره ويحصن فرجه أو يصل رحمه بارك الله له فيها وبارك لها فيه

"Sesiapa yang mengahwini wanita kerana memandang kepada kemuliaan (kedudukannya) sahaja, Allah tidak akan menambah apa-apa kepadanya melainkan dengan kehinaan, sesiapa yang berkahwin kerana hartanya, Allah tidak akan menambahnya kecuali kefakiran, sesiapa yang berkahwin kerana keturunannya Allah tidak akan menambahnya kecuali kerendahan tetapi sesiapa yang mengahwini wanita kerana menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya (dari perkara haram) atau kerana menghubungkan silaturahim, Allah akan memberkatinya dan isterinya".