Ketakutan ulama tidak bertempat - Dr Siddiq Fadhil

Ulama dan umarak adalah dua golongan utama yang menentukan maju mundurnya umat ini dalam mana-mana zaman-zaman sekali pun. Demikian seperti yang tersebut dalam sepotong hadis oleh Baginda Rasulullah s.a.w.
Ulama dan umarak adalah kelompok yang mengasuh kemanusiaan. Manakala Maulana Iqbal pula bermadah melalui syairnya, "Bangsa itu lahir melalui tangan para penyair, jatuh bangun mereka itu berpunca daripada tangan politikus."
Penyair, menurut Iqbal, merupakan golongan yang sejalur makna dengan pengertian ulama-ilmuan dan melalui tangan mereka inilah nilai ketamadunan sesuatu bangsa itu diangkat. Dan, kelahiran bangsa Arab umpamanya ditandai dengan kehadiran syair-syair Jahiliyah yang telah dipatahkan melalui al-Quran yang ditanzilkan dengan ungkapan gaya bahasa syair yang indah.
Ucapan-ucapan indah itulah yang menggerakkan serta merangsang pertumbuhan akliah anak bangsa untuk melakukan perubahan dan kemajuan. Tetapi, bangsa itu maju dan jatuh melalui kuasa-kuasa ahli politik. Politikus yang baik akan memajukan bangsa, demikianlah sebaliknya.
"Maka, ulama dan umarak perlu bersatu demi membangunkan umat. Mereka harus positif dan optimis dalam mendepani perubahan demi meningkatkan kekuatan umat masa depan.
"Tiada masalah yang tak dapat ditangani asalkan semangat jihad disuburkan. Sikap pertama yang harus ada ialah melihat masalah sebagai peluang dan cabaran, bukan penghalang," kata Pengerusi Persidangan Kebangsaan Pertubuhan Islam Malaysia (Skima) Mohd Azmi Abdul Hamid ketika menutup acara persidangan pertubuhan Islam di Kota Bharu 28 Oktober lalu.
Antara masalah pertubuhan Islam kini menurutnya, adalah tiada kemahiran berorganisasi dan sesetengah aktivis dakwah yang enggan berjuang di dalam wadah ulama kerana kepentingan tersendiri sehingga mengabaikan usaha membasmi kejahilan umat.
"Ulama pun jadi berpecah, umat sengsara dan keadaan bertambah parah," kata beliau lagi.
Persidangan anjuran Kerajaan Kelantan dan Skima itu disertai sekitar 500 orang perwakilan daripada 78 NGO Muslim yang membentangkan kira-kira 10 kertas kerja, dan meluluskan 13 resolusi hasil perbincangan bersama yang dikenali sebagai 'Deklarasi Serambi Makkah'.
"Usaha aktivis bukan terletak kepada laungan, menghasilkan resolusi tanpa tindakan. Mereka harus beranjak ke arah paradigma yang menekankan strategi secara rapi, pelaksanaan secara konsisten, berani mendepani seteru Islam dengan membina barisan pejuang.
"Para aktivis Islam, ulama dan umarak perlu bekerjasama dalam bidang yang boleh disepakati dan mengelakkan perselisihan yang merugikan umat," ujar Mohd Azmi.
Oleh itu, tambah beliau, para aktivis Muslim perlulah melengkapkan diri dengan kemahiran, ilmu dan kepimpinan di samping berusaha memahami masalah terkini umat Islam.
Sebaliknya, menurut beliau keadaan umat Islam masa kini tidak menampakkan kesatuan yang kukuh dan kekuatan rohani yang disokong kekuatan intelektual.
Mengulamakan umarak dan mengumarakkan ulama
Tetapi, melihat situasi umat yang parah ini, apakah harapan untuk melahirkan ulama bersifat umarak dan umarak yang memiliki ciri ulama itu dapat dicapai? Atau, dalam pengertian yang lain, apakah mudah kerja untuk mengulamakan umarak dan mengumarakkan ulama?
Presiden Wadah Dr Siddiq Fadhil dalam ceramahnya bertajuk 'Ulama dan Umarak: Penyatu Pembangunan Ummah dan Negara' berkata, seruan ini pernah berkumandang pada satu masa dahulu dengan sedikit perbezaan.
"Dulu disebut 'mengulamakan intelektual dan mengintelektualkan ulama'. Tetapi, sekarang ini apakah mampu kita meneruskan usa ha itu dalam konteks kenegaraan dan dakwah hari ini?
"Antara mengulamakan umarak dan mengumarakkan ulama, mana lebih susah? Pada saya, bukan mudah usaha mengulamakan umarak. Tapi, lebih susah kerja mengumarakkan kaum ulama ini," demikian menurut beliau ketika menjawab soalan hadirin.
Selain itu, tambah beliau, antara sebab umat ketinggalan ini berpunca daripada ulama yang takut dan ketakutan mereka itu tidak bertempat.
"Antara ciri ulama seperti yang disebutkan dalam al-Quran ialah ketakutannya kepada Allah dan ciri ini hilang. Bukan bererti ulama sekarang tidak takut. Ketakutan itu masih ada, tetapi ia bukan kepada Allah, malah kepada pemerintah.
"Dan kita lihat pemerintah sekarang bukan lagi memakai fahaman berani kerana benar, takut kerana salah. Malah, mereka menjadi benar kerana berani. Dan kalau salah tak pernah takut," katanya lagi.
Tambah Dr Siddiq, umat tatkala berdepan dengan situasi sebegini, agak sukar untuk menegur ulama dan pemerintah.
"Menegur ulamak yang bijak tidak mudah kerana mereka ini selalu ada jawapannya," katanya ketika menceritakan kisah usaha menasihatkan ulama yang gemar bermewah dan membazir.
"Umat mencari seorang ulama lain untuk menasihati ulama yang suka bermewah itu. Suatu hari, dia be
rwuduk dengan air banyak sehingga ditegur ulama yang suka mewah itu. Ulama yang suka kemewahan itu berkata: "Kenapa berlebihan mengguna air? Cukup sahaja dengan membasuh anggota wuduk tiga kali."
"Wah, saya cuma berlebihan menggunakan air. Anda berlebih-lebihan dan bermewah-mewah menggunakan harta itu bagaimana pula?" kata ulama tadi, ketika membalas hujah. Akhirnya, ulama tadi tersedar daripada kesilapannya selama ini.
Ertinya, usaha menegur ulama dan umarak perlu berterusan juga demi kelangsungan umat.
Zulkarnain contoh ulama - umarak
Apakah harapan melihat kelahiran 'ulama berjiwa umarak' dan 'umarak berjiwa ulama' akan masih wujud? Dr Siddiq Fadhil berkata, watak ini sebenarnya pernah disebutkan di dalam al-Quran ketika beliau merujuk watak seperti Iskandar Zulkarnain.
Tambah beliau Zulkarnain adalah contoh ulama-umarak yang membina 'projek mega' untuk melindungi rakyat daripada ancaman musuh mereka.
"Projek mega itu disebut dalam al-Quran, iaitu sebuah benteng yang melindungi mereka daripada penjajahan Yakjuj Makjuj. Ia bukan projek kemegahan Zulkarnain untuk memuji diri sendiri. Buktinya setelah selesai, baginda isytiharkan bahawa projek itu adalah rahmat daripada Allah.
"Saya bercita-cita besar, jika saya jadi penguasa, hal yang sama saya lakukan. Di bawah setiap papan tanda projek itu akan ditulis ayat, bahawa projek ini adalah rahmat Allah dan bukanlah ayat seperti: Inilah dia sebuah lagi projek di bawah ...," kata beliau, diikuti ketawa hadirin